Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan mengetuai kayuhan itu bersama-sama 50 orang sejauh 15 kilometer.
Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil pula berkenan berarak sejauh 3.7 kilometer bersama kira-kira 500 orang yang terdiri daripada ahli Majlis Persatuan Pentadbir Institusi Pengajian Tinggi Awam Malaysia (Masti) dan pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
Yang turut menyertai program itu ialah Naib Canselor UniMAP, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Hussin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Empat, Nurulhisham Yaakob.
Kedua-duanya program itu adalah antara tujuh acara yang diatur pada hari kedua program kesukarelawan anjuran Masti di UniMAP yang bermula semalam.
Lima lagi acara yang dijalankan adalah program motivasi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Saffi dan program mewarna kanak-kanak.
Selain itu turut diadakan ken­duri memasak makanan tradisi Perlis iaitu gulai daging dan rebung, membentuk formasi hati sempena kemerdekaan yang bertemakan ‘Sehati Sejiwa’ dan perlawanan bola sepak serta bola jaring bersama artis di bawah naungan Zeel Productions.
Semasa program berbasikal dan perarakan itu, Tuanku Syed Faizuddin dan Tuanku Lailatul Shahreen turut berkenan menyampaikan sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada 10 orang asnaf dari daerah Simpang Empat.
Presiden Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (Potensi) UniMAP, Raja Shah Erman Raja Arifin berharap kesemua program itu dapat memberi manfaat dan mencari pendekatan terbaik dalam menjayakan program kesukarelawan di bawah Masti.