Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, setiap pasukan perlu mengambil inisiatif sebagai persediaan menghadapi bencana dan mengutamakan beberapa aspek, antaranya sokongan fizikal; sumber manusia; penglibatan pihak kerajaan, swasta dan NGO dan sentiasa peka dengan sebarang kemungkinan.
“Selama ini kita menggerakkan pasukan secara bersendirian, dan keadaan ini memperlihatkan berlakunya kepincangan dalam menyalurkan bantuan apabila sesuatu bencana berlaku.
“Selain itu elemen integrasi juga harus diberikan tumpuan penting dalam menggerakkan misi kemanusiaan.
“Jangan nanti ada pasukan yang pergi tetapi tanpa persediaan secukupnya sehingga akhirnya petugas sukarela itu yang perlu dibantu, titah baginda lagi.
Baginda bertitah demikian pada Majlis Perasmian Seminar Perkongsian Kesukarelaan dan Projek Tanggungjawab Sosial (VCORE) 2015 anjuran Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam Malaysia (MASTI) dengan kerjasama Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (POTENSI) universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
Berkenan berangkat hadir, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Yang turut hadir, Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Haji Abdul Malik Hussin; dan Presiden MASTI, Azri Hohad.
Seminar yang julung kali diadakan itu turut mendapat kerjasama dari pelbagai agensi kerajaan, korporat dan NGO seperti BTN, MAIPS, KEMAS, CIDB termasuk para artis dibawah naungan Zeel Production.
Ianya menekankan konsep perkongsian yang bertujuan untuk berkongsi projek-projek USR dan kesukarelawan yang pernah dijalankan oleh semua UA bagi mencari amalan terbaik.
Selain seminar, turut diadakan satu program USR yang mensasarkan masyarakat tempatan yang memerlukan bantuan dan sokongan dalam meneruskan kehidupan seharian dan meningkatkan kualiti gaya hidup yang kondusif.
Dalam seminar tersebut, empat tokoh dijemput melakukan pembentangan CSR iaitu Ahli Lembaga Pemegang Amanah 1Malaysia For Youth (iM4U), Dato’ Irmohizam Ibrahim; Penerbit Bersamamu TV3, Hajah Mazlin Nordin; Pengarang Pendidikan Utusan Malaysia, Wahid Hashim dan Pengurus Baitulmal Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor.
Sumber : http://www.utusan.com.my/berita/nahas-bencana/sentiasa-berjaga-jaga-hadapi-bencana-1.127160
No comments:
Post a Comment